Sejarah Madrasah



Madrasah Tahfiz ini ialah 
cawangan dari Madrasah Manabi'ul Ulum (Pondok Tuan Guru Haji Soleh) No. Pendaftaran: JAIPP/PEND/05-BM-(M)-(002) Kubang Ulu, Penanti.
Madrasah ini ditubuhkan pada tahun 1990 di atas cadangan Mudir Madrasah Manabi'ul Ulum iaitu Tuan Guru Haji Soleh Bin Syeikh Osman Jalaludin. 
Bangunan Madrasah ini berasal daripada sebuah rumah di dalam tanah seluas lebih kurang 1/4 ekar yang telah diwakafkan beralamat No. 3268 Mukim 19, Mengkuang Titi.

Pada tahun 1998, Madrasah telah membeli sebidang tanah lot di dalam kampung Mengkuang titi dan membina 3 unit rumah guru di situ. Pada tahun 2004, Madrasah telah memulakan proses pembelian satu ekar tanah berkembar dengan tapak yang sedia ada. Madrasah bercadang membina bangunan asrama, surau, rumah guru, rumah tetamu dan padang permainan di atas tanah tersebut.

Pengajian Tahfiz bermula dengan seorang guru dan tujuh orang pelajar. Selepas itu kelas tersebut mula mendapat sambutan dengan bertambahnya bilangan pelajar dari masa ke semasa. Lepasan para Hafiz yang pertama dihasilkan pada tehun 1996. Para pelajar tersebut kemudiannya telah melanjutkan pelajaran mereka ke Madrasah lain di dalam dan di luar negeri. Sejak itu Madrasah telah menghasilkan purata 5 orang Hafiz setiap tahun. Pada tahun 2004, terdapat 6 kelas Tahfiz yang dikendalikan oleh 6 orang guru dan setiap kelas mengandungi 10 orang pelajar.

Di samping itu terdapat juga permintaan untuk pengajian Kitab dari orang ramai. Dengan itu setelah dimesyuaratkan, Madrasah telah memulakan pengajian Kitab pada akhir tahun 2000. Sehingga kini terdapat 15 orang guru di kelas pengajian Kitab dan 5 orang guru di dalam kelas Tahfiz.   

Wawasan Madrasah:

Madrasah ditubuhkan atas tujuan melahirkan para Alim Ulamak seperti zaman keagungan Islam pada kurun pertama Hijrah dahulu. Dengan ini madrasah mengutamakan terbiah untuk menerapkan nilai-nilai sunnah dan perjuangan Rasulullah s.a.w. di mana para pelajar dididik untuk:
  • Memelihara hafalan Al-Quran serta amalannya.
  • Mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. dengan istiqamah.
  • Berkorban diri dan harta untuk agama Allah kepada ummat.
  • Meningkatkan kefahaman serta penghayatan Agama dalam masyarakat disamping dapat mematuhi tuntutan fardhu kifayah.